Belina Shop

Pegawai kementerian pulau mesyuarat 4 negeri

Kakitangan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di empat negeri Pakatan Rakyat (PR), dilarang menghadiri mesyuarat pembangunan negeri, daerah dan kursus anjuran kerajaan negeri terbabit.

Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata arahan itu berkuat kuasa serta-merta dan ia dilaksanakan berikutan kerajaan pembangkang di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan gagal memberi kerjasama termasuk tidak pernah menyalurkan peruntukan kewangan kepada jabatan dan agensi kementerian untuk menjalankan program dan projek berkaitan pembangunan pertanian dan masyarakat petani, nelayan dan penternak di negeri berkenaan.

Beliau berkata, selama ini hanya kerajaan Pusat menyediakan peruntukan bagi membantu memajukan sektor pertanian dan golongan berkenaan.

"Kalau kerajaan negeri tak menyediakan peruntukan dan hanya keluar arahan untuk pegawai kita melaksanakan projek dan program membantu petani, nelayan dan penternak, tak perlulah pegawai dan kakitangan agensi ini menghadiri kursus atau mesyuarat majlis pembangunan negeri dan daerah yang diadakan kerajaan negeri itu.

"Pegawai dan kakitangan agensi saya hanya perlu hadir mesyuarat Majlis Pembangunan Persekutuan yang diwujudkan di empat negeri berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LKIM 2008 di sini, semalam.

Noh berkata, kerajaan PR Selangor contohnya, sebelum ini pernah berjanji membantu nelayan di negeri itu, tetapi tidak melakukannya menerusi agensi kementerian seperti LKIM, sebaliknya menyatakan nelayan yang berminat mendapatkan bantuan kewangan boleh memohon menerusi Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen).

Pada majlis itu beliau juga mengumumkan elaun sara hidup untuk kira-kira 55,000 nelayan di seluruh negara tidak lagi dibayar melalui bank seperti sekarang, sebaliknya dibayar secara tunai oleh LKIM.

0 comments:

Post a Comment