Belina Shop

Pakatan Rakyat Nyata Pengecut Minta ISA dimansuhkan.


AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah lama diwujudkan bagi membanteras aktiviti dan anasir subversif oleh pihak komunis dan konco-konco mereka yang pada masa itu dianggap sebagai mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam. Tambahan lagi apabila keadaan negara diisytiharkan darurat mulai 1948 hingga 1960.

Antara ciri-ciri penting dalam akta itu ialah ‘penahanan tanpa bicara’ selama 60 hari oleh pihak berkuasa ke atas seseorang yang disyaki melakukan perbuatan yang boleh ditafsirkan sebagai mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.

Akibatnya ramai jugalah mereka yang telah ditahan mengikut akta tersebut. Ia termasuklah pemimpin-pemimpin politik, aktivis sosial, pemimpin NGO dan sebagainya.

Oleh kerana cirinya yang sedemikian rupa maka ia sangat tidak digemari oleh beberapa pihak. Malahan akta itu kini dianggap sudah tidak ‘relevan’ lagi dengan persekitaran negara semasa. Ini kerana Parti Komunis Malaya (PKM) yang dikaitkan dengan rasional pengwujudan akta itu kerana mencetuskan anasir- anasir seperti tersebut sudah tiada lagi.

Namun anasir-anasir lain yang hampir menyerupai aktiviti subversif komunis itu kini kelihatannya semakin menjadi-jadi sehingga sesekali agak menakutkan orang awam mendengarnya atau melihatnya. Perhimpunan haram, pengucapan awam yang memasukkan unsur-unsur menghasut, membangkitkan isu-isu perkauman dan keagamaan secara serius sudah pun kedengaran di sana sini.

Wajarkah dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, budaya dan agama seperti Malaysia ini membiarkan situasi seumpama ini tumbuh, membiak dan mungkin merebak dalam jangka masa tertentu sehingga nanti mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam?

Jawapan yang jujur kepada persoalan ini pastilah tidak.

Bagaimana pun jika ditilik kepada perkembangan semasa yang diambil kesempatan oleh sesetengah pihak dengan cuba mensensitifkan isu-isu politik yang dicampur-baur dengan isu- isu perkauman yang melampau, kewajaran untuk kerajaan pusat sekarang mengekalkan ISA adalah hakikatnya.

Bahkan dengan timbulnya segala tuntutan dan desakan melampau menerusi tunjuk perasaan, perhimpunan haram, penggunaan media tertentu oleh pihak-pihak tertentu bagi mengisi keperluan serta kepentingan mereka waktu mutakhir ini bertambah jelas lagi betapa ia mewajarkan kerajaan mengekalkan ISA dengan sifat-sifat asalnya yang sedia ada.

Ini kerana rakyat biasa yang tidak berdosa, dengan erti kata tiada langsung mempunyai kepentingan politik atau ‘kuasa’ atas tapak politik harus dibiarkan menjadi mangsa kepada sesiapa atau mana-mana golongan yang mempunyai kepentingan peribadi.

Oleh itu, sementara kerajaan masih di dalam kajian untuk menambah baik atau menghapuskan akta itu, sepatutnya juga kerajaan melihat kepentingan sebahagian besar rakyat yang mengharapkan ketenteraman mereka dilindungi menerusi undang-undang yang tegas dan kemas.

Mereka sangat inginkan sebuah negara yang aman sentosa bukan sahaja untuk mereka bahkan untuk generasi mereka yang akan menyusul. Semoga slogan 1Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan itu benar-benar dirasai rakyat.

0 comments:

Post a Comment